dido dido :
Bismillahirrahmanirrahim...Jika engkau hendak merumpamakan Kekuasaan Allah....Allah menciptakan Alam semesta dan seluruh isinya ini seumpama satu titis air sahaja daripada laut....Maka kekuasaan Allah adalah lebih lagi daripada engkau bayangkan

Sunday, 23 August 2015

~HIKMAH DISEBALIK PERKARA~



Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamualaikum.


Manusia. Seiring dengan namanya yang bermaksud lupa.


Selalu alpa, dan lebih parah lagi mendabik dada mengatakan tidak lalai walhal tersangat jauh daripada Allah.


Suatu peristiwa yang saya ingin kongsikan.


Kisah perjalanan yang dihiasi sebuah keistimewaan.


Tanggal 11 Ogos 2015, Selasa, petang.


Motosikal Yamaha LC 135 ditunggangi meluncur laju membelah udara menghala ke Terengganu daripada kediamanku, Pasir Mas.


Berseorangan. Walaupun agak gentar bermusafir secara solo sejauh 180 kilometer. Allah disematkan didalam hati. Dialah sebaik-baik Penolong dan sebaik-baik Perancang.


Kerana baru sahaja Allah menyelamatkan perjalananku sehari sebelum itu, daripada Kuantan ,Pahang ke Pasir Mas. Jarak kira-kira 350 + Kilometer.


Destinasiku sebuah rumah yang ku menumpang teduh selama lebih 2 bulan ini, berdekatan Bukit Besar, Kuala Terengganu. Salah satu nikmat Allah yang istimewa. Menginap sebuah rumah 2 tingkat tanpa sebarang bayaran. Alhamdulillah.


Sesungguhnya apabila berada di jalan raya terutamanya, seWAJIBnya memerlukan sepenuhnya tawakal & penyerahan diri kepada Allah s.w.t. Sikap berhemah & pengalaman memandu hanya peratusan kecil sahaja. Mungkin 0.01 % . Selebihnya TAWAKAL & BERSERAH kepada Pencipta sekalian alam Yang Maha Berkuasa.


Terselamat. Bukan di atas sebab MUJUR.


Sudah menjadi takdir Allah Yang Maha Mengetahui segala suatu di segenap penjuru alam semesta.


Kira-kira jam 6.10 Petang.


Tepat di hadapan stesen minyak petron di jalan utama Jerteh. Muncul motosikal yang ditunggangi lelaki berumur daripada arah bertentangan, membelok tanpa sebarang isyarat, hasratnya ingin memasuki stesen minyak Petron, di kananku.


Melintang.


Penunggang tersebut terlepas pandang kedudukannku kerana dihalang oleh kenderaan lain yang baru sahaja melintas serta kerana matanya diganggu silauan matahari petang waktu itu.


Aku memutuskan untuk mengelak ke kiri berdasarkan pengalaman terdahulu terhadap situasi ini.


Gagal.


SudahTermaktub di Luh Mahfuz.


Detik-detik masa bagaikan berputar perlahan. Degupan jantung terhenti. Pertembungan berlaku pada kelajuan 110 km/h. Jentera yang ditunggangiku terhenti serta merta akibat sekatan yang diterima oleh motosikal yang ditunggangi lelaki berumur tersebut.


Inertia terhasil. Tubuhku terhumban kehadapan, melayang seketika di udara sebelum mendarat di tar jalan raya.


Terasa geseran pada helmet yang ku pakai meluncur di jalan raya. Terserat beberapa meter daripada kenderaan kami.


Pedih. Setelah pegun. Segera menukar postur tubuhku yang tertiarap kepada duduk. Kembali bernafas. Alhamdulillah.


Masih bernyawa.


ALLAHUAKBAR.


Ujian Allah yang istimewa baru sahaja bermula. Jeda. pandanganku ke bawah. Memaksa fikiranku untuk bersabar dan positif terhadap dugaan istimewa yang singgah sekelip mata ini. Banyak persoalan timbul di minda.


Kedengaran seorang saksi kejadian bertanya keadaan ku yang sejak tadi duduk tidak bergerak. Memberi cadangan supaya memindahkan tubuhku ke tempat lain, selain di atas jalan raya.


Oh ya. Tidak sedar ku sedang berada di bahu jalan raya. Ku cuba berdiri. Berjaya. Alhamdulillah. Memberi maksud nikmat kedua kakiku ini bebas kecederaan kategori patah. Alhamdulillah. Lelaki berumur yang terlibat juga dalam keadaan baik.


Ku tatap Helmet Semi Full Face, jika tidak Allah mengerakkan hatiku untuk membeli Helmet tersebut di Medan , Indonesia tempoh hari, Ku tidak tahu bagaimana keadaan wajahku ketika ini.


Parah. Mungkin.


Allah jualah sebaik-baik Penentu. Kita hanya merancang.


Ku tiba di hospital atas pertolongan seorang hamba Allah yang sanggup menawarkan bantuan.


Aturan Allah. Tidak beberapa lama tiba seorang mangsa lain dan ditempatkan sebelah katilku.


Ma sha Allah. Wajahnya menerima kecederaan yang terpaksa menerima jahitan. Seperti Allah ingin menunjukkanku bahawa kecederaanku sangat kecil berbanding dia.


Wajahku tiada menerima sedikit goresan pun. Tiada patah mahupun retak. Sekadar luka dan tersimpul urat di tangan dan kaki. Itu sahaja.


Dan aku masih diberi nikmat berjalan. Dia terpaksa berkerusi roda.


Menunjukkan Ujian yang sedikit ini hanya untuk menyedarkan kelalaianku.


Allah lah sebaik-baik Penjaga dan Pemberi pertolongan.


Dan hatiku kuat menyatakan masih banyak lagi hikmah yang belum "discover".


Noktah.


Disebalik anugerah musibah wujud kasih sayang dan rahmat daripada Allah.

Alhamdulillah. Allah masih meminjamkanku nyawa untuk bernafas, Kerana tahu masih terdapat dosa-dosa yang terbeban.

Aku bersyukur kerana jika diimbas kembali terlalu banyak "Perlindungan Allah" disebalik musibah kemalangan.

Ia membakar dosa-dosa yang lalu.

Ia ujian yang mampu untuk dihadapi.

لا يكلف الله نفسا الا وسعها

Ia ujian sebagai tanda peringatan kepada yang lupa.


Lupa terhadap nikmat-nikmat yang mustahil dikira.


Nikmat manakah yang kamu dustakan ??


Dunia ini medan ujian. Hadapilah ujian itu dengan sebaik-baiknya.


Sungguh.


Hadapilah cabaran hidup dengan sabar.


Segeralah kembali kepada Allah serta bersangka baik terhadap aturanNYA kerana Dia tidak sesekali menzalimi hamba-hambaNYA. Kita sendiri yang menzalimi diri kita sendiri.


THE END












Total Pageviews